Assalamualaikum
Hukum Isteri Meleteri Suami ......
" Abang ni balik je kerja, tak nak langsung tolong saya siapkan kerja
rumah. Baca suratkhabar, menghadap TV, itu jelah yang awak tahu. Kitakan
sama-sama bekerja bang. Saya pun penat macam abang juga.Sekurang- kurangnya
buatlah air kopi sendiri, bukannya susah pun. Tukarkan lampin anak ke,
ringan sikit kerja saya ni. Nak masak lagi. Abang juga yang nak makan
nanti... pot.. pet.. pot.. pet..... " leter Ina kepada suaminya sejurus
kembali dari pejabat masing-masing.
Kalaulah Ina tahu, betapa besar hukuman serta dosanya meleteri suami
sendiri,sudah tentu dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Lebih-lebih
lagi, sekiranya Intan menghayati ganjaran pahala yang tidak ternilai kerana
berbakti kepada suaminya. Dia tidak akan merasa susah mahupunpenat dalam
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
Dewasa ini boleh dikatakan fenomena isteri meleteri suami atau dalam kata
lain tidak menghormati suami. Bagaikan sudah menjadi satu perkara lumrah
bagi kebanyakkan pasangan, tanpa sedikitpun merasa bersalah melayani mereka
seperti adik lelaki sahaja lagaknya.
Apa yang lebih mendukacitakan, apabila ada di kalangan isteri yang
menyifatkan menjaga peribadinya dengan bersikap sopan terhadap suami
sebagai ketinggalan zaman.
Keadaan ini juga akan menjadi model yang tidak baik kepada anak-anak yang
mungkin diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya
menjadi satu budaya yang negatif.
Banyak nas al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang
kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan
maksiat.
Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: " Jika sekiranya aku berhak
menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku
menyuruh para isteri sujud kepada suaminya. " Hadis tersebut menerangkan
betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan
sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah
tangga.
Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s. a. w. mikraj
kelangit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang
kebanyakkannya terdiri daripada kaum wanita.
Ali Karramallahu Wajhah berkata: " Aku masuk ke rumah Nabi beserta
Fatimah,aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan ." Aku
bertanya, " Ya Rasulullah, apa yang! membuat anda menangis? "
Baginda menjawab, " Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat
kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam
seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku
lihat. "
MENGHERDIK
Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya,
sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah
menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya.
Ada isteri yang tergamak bercakap kasar malah mengherdik suaminya kerana
tidak mendapat apa yang diminta seperti barang kemas, perabot rumah berupa
set sofa dan TV rata 29 inci yang menjadi trend semasa.
Lebih buruk lagi perangai si isteri apabila membanding-bandingkan suami
dengan jiran tetangga yang mampu menyediakan barangan terbabit, sekali gus
dilabelkan sebagai suami mithali. Bukan tidak boleh sama sekali meminta
sesuatu daripada suami tetapi janganlah menggesa mereka menuruti kemahuan
anda sehingga membebankan dirinya.
Sebaliknya, isteri patut bersyukur kerana berpeluang meraih keredhaan
Allah.
Nabi Muhammad s. a. w. bersabda, " Sesungguhnya Allah tidak memandang
kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya. "
Hal ini biasa terjadi kepada suami yang miskin, manakala isterinya pula
tergolong dalam orang-orang berada, yang suka mengungkit-ungkit mengenai
hartanya, apatah lagi yang telah dinafkahkan kepada suaminya.
Mungkin ia agak sukar untuk dipenuhi apatah lagi bagi isteri yang
bekerja,namun percayalah, ia bukan sahaja akan menjadi perkara biasa tetapi
juga ringan dan lancar, jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu
jihad.
Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.
a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai
seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada
suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s. a. w.
dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan
perang sebagai pembantu rumah.
Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya
kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi
milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya.
Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang
sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh
kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu
dibereskannya.
Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan
menyatakan kepadanya: " Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada
satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada
apa yang kamu minta siang hari tadi? "
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak
mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa
hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar,
masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya.
Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan
anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi
keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat,
malah merasa cukup bahagia melakukannya.
Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah
merupakan satu amalan yang solehah. Dengan taufik Allah, sesungguhnya
walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan
memenatkan selagi steri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf
dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.
Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba
mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak
kos sara hidup yang tinggi sekaligus memerlukan kedua-dua suami isteri
keluar bekerja.
Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara
keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah
kiranya sang suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya.
Bukankah Rasulullah s. a. w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik
kepada isteri mereka.Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula
menyusahkan mereka.
Nabi Muhammad s. a. w. bersabda yang ertinya: " Orang-orang yang
terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli
keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku. "
Bagi kaum wanita & lelaki yg sudah berumah-tangga, marilah kita sama-sama
belajar saling tolong-menolong meringankan beban pasangan kita.
Semoga kisah tadi membawa menfaat bagi kita semua... insya'Allah. .
SIKAP ISTERI tidak menghormati SUAMI adalah GEJALA SOSIAL MUSLIM sekarang.
Ia dilakukan kerana berfikir bahawa SUAMI mesti buat seperti ISTERI dalam
RUMAHTANGGA.
TABIAT-ISTERI suka meleteri suami dan TABIAT-SUAMI yang suka meletakkan
semua tanggungjawab rumahtangga ke atas bahu isteri semata-mata; mestilah
dihentikan, demi mendidik MENTAL ZURIAT kita ke suatu BUDAYA IBADAT.
WASSALAM..
0 comments: